BINTANG muda ski air negara, Aaliyah Yoong Hanifah yang sudah lama ‘berehat’ kerana mempunyai tanggungjawab sebagai seorang pelajar, akan kembali mencuri tumpuan pada kejohanan terdekat nanti.
Pemain berusia 21 tahun itu akan menghangatkan Kejohanan Ski & Wake Malaysia yang akan berlangsung di Kompleks Sukan Air Putrajaya pada Sabtu dan Ahad ini.
Aaliyah yang kini melanjutkan pelajaran dalam bidang psikologi di Florida Southern College (FSC) mendedahkan bahawa dirinya akan berusaha meningkatkan prestasi sambil memberi inspirasi kepada rakan-rakan senegara.
“Saya gembira dapat pulang ke tanah air dan berharap untuk memberikan prestasi yang baik, tidak semestinya untuk mencapai rekod peribadi, tetapi untuk mengekalkan kedudukan dunia saya.
“Kedudukan saya dalam ranking dunia sedikit merosot kerana fokus saya terhadap peperiksaan universiti, dan hujung minggu ini adalah masa untuk saya meningkatkan prestasi semula,” ujar Aaliyah.
Acara yang melibatkan peserta dari Indonesia, Singapura, dan Thailand itu telah meraih penyertaan seramai 60 peserta yang mendaftar dalam pelbagai kategori termasuk slalom, trik, lompat, wakeboard, dan wakesurf.
Kali terakhir Aaliyah beraksi di peringkat dunia adalah di World Games 2022 di Alabama, Amerika Syarikat, di mana dia berhasil mendapat tempat ketiga dalam acara trik wanita dan Kejohanan Dunia U21 2023 di Chapala, Mexico, menduduki tempat ketiga dalam acara lompat wanita.
Aaliyah kini memegang rekod peribadi (PB) sebanyak 8,450 mata dalam acara trik, yang juga merupakan rekod Asia, dan PB sebanyak 48.3 meter dalam acara lompat dan 4.5/12/55 dalam acara slalom.
Sementara itu, Persekutuan Ski Air & Wakeboard Malaysia (MWWF) berharap dapat menilai prestasi peserta baharu dalam memandingkan pesaing serantau sebagai persiapan untuk Sukan SEA.
“Kami mempunyai dua gadis berusia 14 tahun, Chloe Bayly dan Madilynn Tan serta seorang remaja lelaki berusia 13 tahun, Aydan Noah, yang telah berlatih bersama kami sepanjang tahun lalu.
“Jadi, kami ingin melihat kemajuan yang mereka buat dalam pertandingan hujung minggu ini. Dengan penyertaan pemain ski serantau, kami juga dapat mengukur kekuatan kami berbanding pesaing Sukan SEA,” jelas Setiausaha Kehormat MWWF, Hanifah Yoong.