PENGENDALI Sri Pahang FC, Fandi Ahmad mengakui dia tidak terkesan sama sekali dengan desakan yang dilakukan sekumpulan penyokong yang mahukan perubahan dalam corak permainan skuad Tok Gajah.

Dalam aksi terakhir di laman sendiri minggu lalu, sekumpulan penyokong menyanyikan ‘chant‘ yang menyeru nama Fandi namun pelatih asal Singapura itu menganggap itu perkara biasa dan dia hanya fokus kepada tugasannya.

Meskipun dilanda kemerosotan prestasi dengan hanya dua mata dari tiga perlawanan terakhir, Fandi tetap yakin anak-anak buahnya mampu memberikan permainan terbaik apabila berhadapan Terengganu FC dalam aksi Liga Super di laman lawan pada Jumaat.

Fandi Ahmad tidak kisah kritikan penyokong kepadanya 

“Saya tidak ada masalah kerana itu adalah kuasa penyokong dan saya hanya lakukan kerja sahaja dan mereka boleh katakan apa sahaja kerana kita sebagai sebuah pasukan tahu kita sudah berikan yang terbaik dalam setiap perlawanan.

“Kita sudah tunjukkan peningkatan prestasi pada setiap perlawanan dan kita perlukan sokongan daripada penyokong tetapi bukan dari mereka yang hanya menyokong ketika menang sahaja kerana pemain sudah berikan yang terbaik.

“Pasukan perlu bekerja keras kerana dalam bola sepak kadang kala kita mengalami satu tempoh masalah prestasi yang berpanjangan selagi kita tidak dapat keyakinan menjaringkan gol tetapi semuanya akan berubah,” jelasnya.

Sri Pahang kini bergelut dengan prestasi terutama keupayaan menjaringkan gol

Sri Pahang berdepan tugasan berat di Kuala Terengganu untuk menamatkan kemarau kemenangan namun para pemain masih mempunyai keyakinan untuk memberikan aksi terbaik meskipun sedar akan kekuatan lawan.

Tok Gajah kini menduduki tangga ke-10 dengan enam mata selepas tujuh perlawanan dan sebarang keputusan positif pastinya akan memberikan suntikan semangat tambahan untuk mengharungi baki pusingan pertama Liga Super musim ini.