KETUA jurulatih Tenis berkerusi roda, Ahmad Hazeeq Ahmad Hisyam mengharapkan ada keajaiban yang berlaku ketika acara sukan itu berlangsung di Sukan Paralimpik Paris nanti.
Menurutnya, mereka akan menumpukan perhatian bagi acara beregu lelaki yang menampilkan Abu Samah Borhan dan Yusshazwan Yusoff.
Gandingan kedua-dua pemain ini dilihat mampu mencipta lebih banyak kejayaan di Paris. Ini selepas mereka berdua pernah memenangi pingat Perak dalam acara beregu ketika Sukan Para Asia Hangzhou 2022.
“Buat masa sekarang, persiapan kita dalam 85 peratus. Kita tengah memfokuskan kepada kecergasan, taktikal dan strategi bagi acara beregu.
“Sasaran kami untuk acara beregu kita sasarkan untuk sampai ke pusingan ke 16, jika berjaya kita akan pergi suku akhir dan jika berlaku keajaiban kita akan sampai ke separuh akhir,” katanya ketika ditemui media.
Dia juga menyatakan bahawa bermain di gelanggang tanah liat (Clay Court) di Stade Roland Garros lebih mencabar berbanding bermain di gelanggang keras (Hard Court).
“Ia adalah perbezaan yang besar dan ia mendatangkan cabaran terutama sekali apabila mereka akan bermain dengan diatas kerusi roda.
“Nak tolak kerusi roda di clay court adalah sukar kerana ia sangat berat dan ia memerlukan lebih banyak tenaga untuk bergerak laju kerana tanahnya yang lembik.
“Kami dah pergi bulan lepas untuk bermain dan berlatih di gelanggang ini dan saya tengok permainan mereka, apa kelemahan yang perlu diperbaiki dan kita cuba push fitness dan strength pemain kerana mereka akan lebih banyak menggunakan elemen-elemen ini.
“Jadi kami kat sini banyak buat program latihan untuk hadapi gelanggang tanah liat dan kita akan pergi ke sana lebih awal dan mencuba gelanggang di sana,” tambahnya lagi.
Acara tenis berkerusi roda akan bermula pada 30 Ogos ini di Stade Roland Garros. Abu Samah Borhan akan melakukan penampilan ketiga di Temasya Sukan Paralimpik manakala Yusshazwan Yusoff akan melakukan debut di Paris, dengan kedua-duanya juga akan bersaing dalam acara perseorangan dan beregu.