AKSI tumpuan antara Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Selangor FC di pentas final Piala FA 2024 pastinya membabitkan hal keselamatan pemain dan juga penonton yang hadir ke venue perlawanan.
Oleh itu, Presiden Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Datuk Ab Ghani Hassan hari ini telah mengadakan satu kunjungan hormat keatas Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur.
Menerusi kenyataan yang dimuat naik oleh MFL, dalam pertemuan khas itu, Ketua Polis KL telah mendedahkan bahawa seramai 2228 anggota polis akan dikerahkan menjaga keselamatan di sekitar stadium sepanjang perlawanan berlangsung.
Perkara ini sekali gus mengembalikan aura final Piala FA tahun 2015, dimana lebih 2000 anggota polis juga yang menjaga ketenteraman di stadium semasa aksi perlawanan antara Kelantan dan Lions XII.
Malah pada tahun lalu, final Piala FA hanya merekodkan sekitar 750 anggota polis sahaja yang berjaga semasa saingan sengit antara JDT dan Kuala Lumpur (KL) City FC.
“Dalam pertemuan, Datuk Ab Ghani turut memberikan sedikit taklimat berkenaan pengelolaan perlawanan akhir Piala FA 2024-2025 yang akan berlangsung di SNBJ pada 24 Ogos 2024 melibatkan juara bertahan Johor Darul Ta’zim (JDT) dengan Selangor FC memandangkan pihak Polis Kuala Lumpur menjadi penyelaras utama dalam kawalan keselamatan aksi kemuncak itu nanti.
“Dalam masa sama, Datuk Rusdi memaklumkan bahawa polis bersiap siaga bagi menghadapi perlawanan akhir itu apabila bakal menempatkan seramai 2228 anggota untuk menjaga ketenteraman dan keselamatan serta memastikan kelancaran aliran trafik di sekitar venue pertandingan,” menurut kenyataan MFL.
Aksi final Piala FA antara Harimau Selatan dan skuad Gergasi Merah dijadualkan berlangsung pada 24 Ogos 2024, di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).