KETUA jurulatih memanah Paralimpik Malaysia, Marzuki Zakaria dan pembantunya, Mohd Hakhiki menjelaskan hubungan baik antara jurulatih dan atlet sangat-sangat diperlukan bagi memastikan persediaan mereka berada pada tahap terbaik.

Ini kerana terdapat perbezaan untuk melatih atlet normal berbanding dengan atlet kelainan upaya kerana sifat rendah diri yang ada pada mereka sejak kecil dan perkara ini perlu diambil berat oleh semua jurulatih yang terlibat.

Dia turut mengakui setiap jurulatih perlu menjadi umpama keluarga dan rakan bagi setiap atlet untuk memastikan emosi mereka terjaga dan mempunyai sikap percaya diri yang tinggi untuk menghadapi kejohanan Paralimpik.

Marzuki (kanan) dan Hakhiki, dua jurulatih yang bertindak sebagai mentor kepada atlet Para negara

“Sebagai jurulatih atlet para, kami perlu menjadi bapa, abang atau rakan baik kepada mereka dengan sentiasa mendapatkan maklum balas dari mereka tentang apa yang diperlukan bagi membantu mereka dalam sesi latihan.

“Kita sedar mereka mempunyai kekurangan dan sikap rendah diri sejak kecil tetapi sebagai jurulatih, kami perlu berikan semangat dan menyuntik rasa yakin kepada mereka bahawa mereka boleh lakukan seperti apa yang atlet biasa lakukan.

“Dalam sukan memanah, tidak ada perbezaan antara atlet biasa dan atlet para kerana apa yang penting adalah persembahan mereka ketika hari pertandingan dan perkara ini yang barisan jurulatih tekankan kepada semua atlet,” katanya ketika ditemui di Pusat Memanah Nilai, Negeri Sembilan.

Chef De Mission Sukan Paralimpik Paris 2024 melakukan lawatan ke pusat latihan memanah negara

Dalam perkembangan yang sama, Marzuki turut gembira dengan persiapan yang dilakukan atlet-atlet memanah dan berharap segalanya akan berjalan lancar apabila pertandingan sebenar dan dia tidak mahu meletakkan tekanan berlebihan buat mereka.

“Syukur kerana persiapan kami berjalan dengan baik dan dapat melakukan latihan bersama-sama skuad Sukma Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur sekaligus memberikan keyakinan buat atlet kami beraksi di Paris nanti.

“Sebagai jurulatih, kami tahu kebolehan mereka dan mempunyai keyakinan yang mereka mampu berikan yang terbaik namun kita tidak mahu terlalu menekan kerana dalam sukan memanah ini, segalanya ditentukan pada hari pertandingan itu sendiri,” jelasnya.

Tiga atlet – S.Suresh, Nur Jannaton Abd Jalil dan Daneshan Govinda Rajan masing-masing akan bersaing dalam acara recurve dan compound individu dengan ketiga-tiga mereka meletakkan sasaran untuk memperbaiki catatan peribadi terbaik ketika di Paris nanti.