PEMAIN sepaktakraw negara, Muhammad Noraizat Muhd Nordin berharap agar dirinya berpeluang untuk menampilkan aksi terbaik dan tersenarai dalam nama pemain yang akan bersaing di kempen Piala Raja Thai 2024 yang akan berlangsung bulan depan.

Kejohanan yang bermula di Terminal21, Korat, Thailand menyaksikan Malaysia bakal beraksi dalam acara berpasukan lelaki divisyen perdana, bertemu pasukan China dan Laos (Kumpulan C).

Dalam membawa misi penting ke tanah Gajah Perang itu, Noraizat sekali gus menegaskan bahawa apa jua keputusan jurulatih, dia tetap akan beri 100 peratus komitmen dalam saingan sepaktakraw tersebut.

“Sekarang saya fokus berlatih bersama skuad kebangsaan untuk Kempen Piala Raja Thai. Jika nama saya terpilih, saya akan cuba memberikan yang terbaik.

Noraizat (kiri) bersama rakan sepasukannya semasa Piala Dunia Sepaktakraw 2024.

“Pengalaman dalam Piala Dunia sebelum ini mungkin memberi sedikit kelebihan, tetapi saya perlu menyesuaikan diri dengan format beregu dalam Piala Raja Thai,” ujar Noraizat ketika ditemui pada petang Jumaat dalam Majlis Pelancaran STL 2024.

Noraizat yang juga memegang watak utama dalam skuad sepaktakraw Perak Bison turut mengakui bahawa laluan untuk mempertahankan kejuaraan Liga Sepaktakraw (STL) musim ini pastinya agak mencabar.

Meskipun pasukannya mempunyai keazaman untuk mengekalkan gelaran, namun saingan-saingan yang boleh digambarkan menerusi barisan pihak lawan tidak boleh dipandang ringan.

Majlis Pelancaran STL 2024, Jumaat.

“Memang agak sukar untuk pertahankan kejuaraan STL tahun ini. Persiapan kami memerlukan latihan yang intensif dan dedikasi yang tinggi.

“Dengan format baharu serta beberapa perubahan yang dilakukan dalam STL 2024 kali ini, saya percaya semua pasukan yang bertanding mempunyai peluang cerah untuk menjadi juara.

“Namun, saya kini sedang memberi tumpuan kepada pasukan kebangsaan untuk Piala Raja Thai dan belum dapat mengikuti latihan bersama Perak Bison,” tambahnya.

STL 2024 bakal melabuhkan tirai pada 26 Ogos, dengan membawa perubahan yang besar selepas sistem 15 mata bakal digunakan dalam perlawanan serta pengenalan format baharu iaitu berkonsepkan Grand Prix (GP) yang membabitkan 12 pasukan bertanding.