KERAJAAN Negeri Johor menerusi Menteri Besarnya, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengumumkan Ahad, 25 Ogos 2024 sebagai cuti peristiwa sebagai penghargaan buat semua penyokong Johor Darul Ta’zim (JDT).

JDT bakal berdepan dengan Selangor FC dalam final Piala FA pada Sabtu, 24 Ogos 2024 dan Kerajaan Johor segera mengumumkan hari berikutnya sebagai cuti umum bagi memudahkan penyokong menyusun jadual untuk memenuhi Stadium Nasional Bukit Jalil.

Menerusi kenyataan yang dimuat naik di laman sosial rasmi Menteri Besar yang diulang naik di laman rasmi kelab, Onn menyatakan cuti ini sebagai tanda penghargaan buat Pemain ke-12 bagi menyaksikan JDT meraih kejuaraan hatrik Piala FA.

“Dengan perkenan DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor, dengan ini Kerajaan Negeri Johor memutuskan untuk mengisytiharkan hari Ahad, 25 Ogos 2024, sebagai Hari Cuti Peristiwa bagi seluruh rakyat Negeri Johor sebagai tanda penghargaan buat ‘Pemain ke-12’ pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam Piala FA 2024.

“Marilah kita ramai-ramai turun bersama membanjiri stadium Bukit Jalil hari Sabtu ini dan memberikan sokongan padu kepada pasukan JDT yang kita sayangi dalam mempertahankan kemenangan Piala FA 2024 ini. Sama-samalah kita doakan,” tulis kenyataan itu.

Jualan tiket untuk perlawanan akhir itu sudah mula dijual kepada pemegang pas. bermusim Stadium Sultan Ibrahim dan juga kepada umum dengan dijangka hampir 40,000 penyokong JDT akan memenuhi Stadium Nasional Bukit Jalil.

Sebagai rekod, ini adalah kali kelima JDT layak ke final Piala FA sejak ditubuhkan pada 2013 dan Harimau Selatan berjaya muncul juara sebanyak tiga kali pada 2016, 2022 dan 2023 manakala muncul naib juara pada edisi 2013.