BERMULA dari menjadi mangsa buli ketika di sekolah membuatkan P. Moganarrajan mempelajari sukan taekwondo dan kini dia bergelar juara Sukma selepas memenangi pingat emas kategori lelaki tidak melebihi 54 kilogram pada Isnin.

Atlet Johor itu merangkul emas selepas menewaskan atlet Negeri Sembilan, Ahmad Muhaimin pada aksi final dan dia membuktikan dia kini bergelar juara dan tidak mudah dibuli.

Bagaimanapun dia sedikit terkilan kerana bapanya yang sentiasa menjadi pendorongnya tidak ada bersamanya kerana sudah meninggal dunia pada Februari dan tidak sempat meraikan kejayaan ini.

“Saya sentiasa dibuli ketika zaman persekolahan dan itu menyebabkan bapa saya menyuruh saya menyertai taekwondo semasa berusia 12 tahun tetapi kini dia sudah tiada kerana sudah meninggal dunia dan pesanan terakhir darinya adalah dia mahu saya memenangi pingat emas.

“Sebab itu kemenangan ini sangat istimewa buat saya. Saya lakukan untuk mendiang tetapi sayang dia tidak dapat melihat pingat ini dikalungkan pada saya,” katanya selepas majlis penyampaian pingat di Kuching.

Sementara itu, jurulatihnya, G. Loorthunathan menjelaskan dia bakal menyertai kem kebangsaan selepas ini meskipun sudah dipanggil lebih awal sebelum Sukma bermula.

“Kami mahu dia fokus kepada Sukma terlebih dahulu sebelum dia menyertai kem latihan kebangsaan. Dia mempunyai skil dan ketinggian yang diperlukan dalam kelas pertandingannya,” jelasnya.

Moganarrajan juga menggunakan kesempatan ini untuk memberikan semangat kepada mangsa buli supaya tidak mengalah dan mahu budaya buli ini dihentikan.