FOTO : TERENGGANU FC

KETUA jurulatih Terengganu FC (TFC), Tomislav Steinbruckner memaklumkan persiapan aksi pertama Piala Shopee berdepan kelab Kemboja, PKR Svay Rieng FC mengalami sedikit masalah.

Menurutnya, pemain sayap Akhyar Rashid mengalami kecederaan kecil selama lebih kurang seminggu lepas.

“Persiapan seperti biasa, pasukan sudah bersedia. Namun, kami menghadapi sedikit masalah. Kami akan lihat hari ini sama ada dia bersedia untuk perlawanan esok, atau mungkin kami akan letakkannya di bangku simpanan.

“Keputusan akan dibuat petang ini bersama staf saya. Selebihnya, saya harap semua pemain lain bersedia. Kami tahu betapa pentingnya pertandingan baharu ini,” katanya dalam sidang media di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, pada Selasa.

Pengendali berusia 58 tahun turut ditanya sama ada perlawanan esok adalah mudah atau sebaliknya, namun ini jawapan beliau.

“Saya tidak pernah ingat mana-mana perlawanan dalam hidup saya yang mudah. Walaupun perlawanan persahabatan, ia bukan mudah, apatah lagi dalam pertandingan baru ini.

“Perlawanan pertama selalu sangat penting jika kita ingin mara ke peringkat seterusnya. Dalam kumpulan ini, enam pasukan bertanding, dan setiap perlawanan boleh menjadi sangat penting. Setiap mata adalah berharga.

“Saya menjangkakan perlawanan yang sukar kerana saya telah menonton beberapa perlawanan persahabatan dan piala oleh pihak lawan kami esok. Mereka adalah pasukan yang sangat baik. Tetapi tiada perlawanan yang mudah,” katanya optimis bermain di halaman sendiri memberikan mereka kelebihan.

Sementara itu, kapten pasukan, Safawi Rasid berkata, rancangan mereka adalah untuk mengikuti arahan jurulatih dan taktikal.

“Saya hanya kenal seorang pemain (Thierry Bin). Bagi kami, tiada masalah. Sebab bagi saya, ini adalah sebahagian daripada bola sepak, dan pasukan kami kini sudah bersedia untuk perlawanan esok. Jadi, kami perlukan tiga mata pertama untuk kejohanan ini,” ujarnya penuh yakin.