JAGUH perseorangan lelaki negara Lee Zii Jia memuat naik kenyataan menyatakan sebab mengapa dia tewas mengejut kepada Alex Lanier dari Perancis sekali gus tersingkir daripada Terbuka Jepun pada Selasa.

Pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Paris 2024 yang juga pemain pilihan keenam kejohanan itu gagal mengulangi prestasi baik dan tewas kepada pemain ke-29 dunia dalam masa 41 minit pada kejohanan Super 750 di Arena Yokohama.

Rentak positif jaguh berusia 26 tahun itu disekat oleh Lanier dengan keputusan ‘straight set’ 18-21, 13-21 sekaligus menjadi kemenangan pertama buat Lanier dalam pertemuan sulung antara kedua-dua pemain ini.

Penjelasan Lee Zii Jia yang dimuatnaik di laman Instagram peribadinya

Zii Jia memuatnaik satu hantaran di Instastory bagi menjelaskan keadaan dimana dia mengakui dia masih keletihan dan fizikalnya masih belum pulih sejak pulang dari Paris.

“Hai semua, fizikal saya berasa lemah untuk beberapa hari sejak pulang dari Sukan Olimpik namun menarik diri dari kejohanan tidak ada dalam rancangan selagi saya rasa ia tidak membahayakan saya.

“Saya mencuba yang terbaik dan berjuang sepanjang perlawanan tetapi badan saya tidak mengizinkan saya melakukan yang terbaik mengikut kemampuan saya. Kini mengharapkan rehat dan pemulihan yang baik untuk kejohanan yang akan datang,” katanya.

Dengan keputusan ini, Lanier mara ke pusingan seterusnya, manakala Zii Jia akan pulang ke tanah air bagi meneruskan sesi pemulihan sebelum kembali semula ke gelanggang dan dijangka tidak menyertai Terbuka Korea Selatan.