PENGENDALI pasukan Kaya IloIlo, Yu Hoshide akui bakal berdepan cabaran besar dalam kempen Piala Shopee 2024 yang diadakan buat julung kalinya, kerana beraksi dalam tempoh ‘berehat’ Liga Filipina yang masih belum bermula.

Pertembungan antara skuad Filipina dan Kuala Lumpur (KL) City FC pada malam esok dijangka sukar oleh Hoshide walaupun membawa bekalan yang cukup baik daripada kempen liga yang lalu.

Sebanyak 13 kemenangan, satu seri dan 82 gol telah direkodkan oleh pasukan terbaik Filipina, namun masih berjaga-jaga dengan kemampuan skuad Lembah Klang, The City Boys pada aksi pertama mereka dalam Piala Shopee 2024.

“Perlawanan esok sememangnya agak sukar kerana pemain KL City sedang berada dalam motivasi terbaik kerana liga mereka sedang berjalan. Namun, kita tetap akan persembahkan aksi yang cemerlang dalam saingan esok.

Ketua jurulatih Kaya IloIlo dan kapten pasukan.

“Dalam masa yang sama, kita juga akan cuba membawa pulang tiga mata penuh ke Filipina walaupun kita menjangka cabaran sengit yang akan diletakkan oleh KL City,” ujar ketua jurulatih Kaya IloIlo dalam sesi sidang media pada Selasa.

Sementara itu, kapten pasukannya, Audie Menzi mendedahkan bahawa pemain-pemain mereka akan sentiasa mengawasi dan berwaspada terhadap beberapa pemain utama KL City.

Audie berkata, pasukannya juga telah menonton beberapa perlawanan The City Boys sebelum ini, bagi mengkaji kekuatan serta kelemahan skuad Ibu Kota tersebut.

“Selepas menyaksikan beberapa aksi perlawanan mereka sebelum ini, kami pasti mereka adalah sebuah pasukan yang cukup kuat dan bagus. Ada beberapa penyerang dan pemain tengah yang perlu diawasi, terutama kapten pasukan yang harus diawasi nanti,”katanya.