PENGENDALI Svay Rieng FC, Jose Munoz bangga dengan aksi yang ditampilkan para pemainnya sekali gus membuktikan kualiti mereka selepas menewaskan Terengganu FC 3-2 dalam perlawanan pembukaan Kumpulan A Asean Club Championship Shopee Cup 2024-25 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin pada Rabu.

Munoz turut menyatakan ianya bukan sesuatu yang mudah buat pasukannya untuk hadir ke Malaysia dan berjaya membawa pulang tiga mata dan kejayaan ini adalah hadiah hasil kerja keras pemainnya selama 18 bulan untuk sampai ke tahap ini.

Dia juga gembira kerana berjaya menafikan kebangkitan Terengganu meskipun hampir kehilangan tiga mata tetapi video bantuan pengadil menyebelahi mereka pada lewat permainan untuk mengekalkan tiga mata.

“Ianya satu perlawanan yang baik dari pasukan kami terutama dengan tahap yang ditunjukkan pada 45 minit pertama. Seperti saya katakan, pasukan kami mahu mengekalkan penguasaan bola dan kami berjaya lakukan itu serta layak dapat lebih banyak gol dengan pelbagai peluang.

“Tetapi Terengganu dengan kualiti yang mereka ada dan juga penyokong mereka di stadium hebat ini, saya jangkakan mereka akan bangkit dan mereka hampir lakukannya pada saat-saat terakhir namun saya sentiasa percaya dengan kualiti pemain saya yang sudah bekerja keras sejak 18 bulan lalu.

“Hari ini mereka buktikan betapa bagusnya pasukan ini kerana sangat sukar hadir ke Malaysia bertemu pasukan besar seperti ini dan saya bangga dengan mereka kerana berjaya bawa pulang tiga mata penuh,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.

Munoz juga tidak mahu memberikan pujian kepada sesetengah pemain sebaliknya memuji aksi mereka sebagai satu pasukan dan kini semakin bersedia untuk menghadapi perlawanan kedua selepas menunjukkan aksi yang cukup baik dalam perlawanan pertama ini.

“Kredit perlu diberikan kepada semua pemain bukan hanya barisan pertahanan dan kami buktikan kami adalah pasukan yang baik dengan corak permainan menyerang yang mana kami sepatutnya boleh menambah lebih banyak gol.

“Tahap pertandingan ini sangat tinggi berbanding kejohanan domestik dan kami dapat banyak perkara positif dari pertandingan ini dan saya bangga dengan para pemain,” jelasnya.

Dua gol pantas pada babak pertama dan gol ketiga pada lewat permainan cukup untuk Svay Rieng mengejutkan Terengganu FC dan kini mereka berada di tangga kedua Kumpulan A sebelum bertemu wakil Thailand, BG Pathum United pada 25 September 2024.