KEMBALI ke final dan cuba memenangi Pestabola Merdeka 2024, menjadi penawar terbaik kepada kekecewaan tahun lalu, selepas tunduk 0-2 kepada Tajikistan.
Ketua jurulatih Harimau Malaya, Pau Marti Vicente mengakui beliau juga berasakan kesan kekecewaan dek kekalahan kepada Tajikistan kerana beranggapan skuad negara layak mendapat keputusan sebaliknya.
Namun, edisi lalu sudah menjadi kenangan dan skuad negara memulakan langkah baharu dengan penumpuan Pau Marti, terarah kepada satu perlawanan dalam satu masa.
“Buat masa ini, perlawanan paling penting adalah perlawanan pertama menentang Filipina.
“Ia bakal menjadi perlawanan paling sukar dan saya tidak rasa kami mahu memikirkan perkara lain.
“Bagi saya, ini adalah ‘rumah’ kita, kita bermain di laman sendiri dan mahukan trofi tetapi perlu melepasi langkah demi langkah dan sasaran pertama kita adalah Filipina,” kata Pau Marti.
Begitupun, Pestabola Merdeka 2024 yang akan berlangsung 4 hingga 8 September depan, mungkin tidak semeriah tahun lalu selepas kumpulan peminat setia termasuk Ultras Malaya menjalankan kempen ‘memboikot’ kejohanan.
“Itulah hakikat yang saya sedari, tetapi di pihak kami sudah tentu mahu semua penyokong hadir ke setiap perlawanan.
“Kita ada stadium besar dan boleh mendapatkan suasana yang hebat, jadi setiap kali kami bermain (Harimau Malaya), saya mahu stadium penuh kerana pasukan kebangsaan tidak mempunyai banyak perlawanan sepanjang tahun.”
Bagaimanapun, Pau Marti sedar pihaknya tidak melakukan apa-apa sekiranya Stadium Nasional Bukit Jalil tidak dipenuhi penyokong.
Saingan Pestabola Merdeka 2024 membabitkan empat pasukan, Malaysia, Filipina, Lubnan dan Tajikistan.
Malaysia membuka cabaran menentang Filipina manakala Lubnan berdepan juara bertahan Tajikistan pada 4 September sebelum final pada 8 September.