KETUA Kontinjen Malaysia ke Sukan Paralimpik, Datuk R. Subramaniam mengharapkan agar atlet paralimpik negara tidak melepaskan peluang yang mendatang untuk mencipta kejayaan.

Menurutnya, temasya Sukan Paralimpik Paris merupakan platform terbaik untuk atlet para membuktikan kemampuan di peringkat antarabangsa.

“Anda telah diberi peluang terbaik untuk menunjukkan bakat anda di pentas antarabangsa.

“Kami di MPM sangat gembira kerana 30 atlet berjaya melayakkan diri ke Sukan Paralimpik Paris 2024.

“Pada edisi lalu, hanya 22 orang atlet yang berjaya mewakili negara di Sukan Paralimpik, angka itu semakin meningkat bagi edisi kali ini.

“Ini menunjukkan satu peningkatan yang baik dimana sistem yang ada sekarang di MPM makin baik,” katanya ketika Majlis Amanat Ketua Kontinjen Malaysia baru-baru ini.

Beliau turut menasihat kepada para atlet agar kekal fokus pada acara sukan yang mereka akan hadapi disana.

“Jangan melihat telefon pintar, jangan dengar cakap netizen apabila mereka mengkritik secara berlebihan, jangan risau pasal apa-apa perkara sekali pun.

“Anda mewakili negara di peringkat dunia, anda patut bangga dengan perkara itu. Anda ada tempat istimewa dan sukan adalah satu cara untuk kecapi kejayaan,” tambahnya lagi.

Dalam majlis yang sama, Datuk Seri Megat D. Shahriman turut menyampaikan hadiah tajaan kepada atlet para negara sebagai tanda sokongan.

Sukan Paralimpik Paris 2024 akan bermula pada 28 Ogos ini, dengan 30 atlet Malaysia akan bersaing dalam lapan acara sukan.