KETUA Jurulatih B19 Tahun Kebangsaan, Hassan Sazali Waras mahu memastikan tiga mata penuh menjadi milik Malaysia apabila turun berdepan Kemboja dalam saingan pembukaan Kumpulan B Kejohanan AFF B19 di Jakarta.
Hassan juga turut lega apabila kesemua pemain berada dalam keadaan baik dan akan menilai pemain-pemain bagi menentukan siapa yang bakal diturunkan pada perlawanan seterusnya.
Selain itu, Haqimi Azim yang baru menyertai latihan pasukan dilihat tidak mempunyai masalah untuk menyesuaikan diri kerana sudah pun menjalani latihan bersama-sama ketika fasa pertama dahulu.
“Bagi saya kita perlu seharusnya mendapatkan tiga mata ketika menentang Kemboja kerana ianya akan memberikan moral booster untuk semua pemain bagi menghadapi kejohanan ini.
“Para pemain juga berada dalam keadaan yang baik dan saya akan gunakan perlawanan hari ini untuk menilai keadaan pemain kerana jadual yang padat memerlukan saya melakukan penggiliran pemain bagi memastikan semua pemain mendapat rehat yang cukup.
“Haqimi tidak mempunyai masalah untuk menyesuaikan diri kerana dia telah pun bersama pasukan sejak latihan fasa pertama dan saya sememangnya memerlukan pemain utiliti seperti dia dalam pasukan.
Jurulatih berusia 57 tahun ini juga sudah mempersiapkan pemainnya dari segi kekuatan mental dan fizikal tetapi kini fokusnya hanya kepada perlawanan menentang Kemboja sebelum berhadapan Singapura pada 7 Julai nanti.
Selepas itu skuad muda negara akan menerima pula cabaran dari Timor Leste pada 9 Julai sebelum bertemu Laos pada 11 Julai dengan dua pasukan teratas dari setiap kumpulan akan layak ke separuh akhir.