HASRAT pasangan muda negara, Choong Hon Jian-Muhammad Haikal Nazri untuk mara lebih jauh di Jelajah Dunia Terbuka Jepun, berakhir selepas mereka tunduk kepada pasangan nombor 6 dunia, dari Indonesia di pusingan kedua, sebentar tadi.
Berdepan Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto, Hon Jian-Haikal bermula dengan baik apabila mengejutkan lawan yang lebih berpengalaman itu menerusi kemenangan 21-16 di set pertama.
Namun mereka mudah hilang tumpuan di set kedua, akur dengan kekalahan 8-21, seterusnya 15-21 pada set penentuan untuk menyerah laluan suku akhir kepada gandingan lawan.
Kemenangan Fajar-Rian itu membolehkan mereka berdepan satu lagi lawan negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani di suku akhir, esok.
Sze Fei-Nur Izzuddin meneruskan kemaraan selepas mengatasi pemain Chinese Taipei, Liu Kuang Heng-Yang Po Han 21-14, 24-22 di pusingan kedua.
Berdasarkan rekod pertemuan, pasangan utama Indonesia itu memiliki kelebihan besar 8-1 ke atas Sze Fei-Nur Izzuddin dan kedua-duanya kali terakhir bertemu pada Terbuka Korea tahun lalu.