BINTANG bola sepak, Cristiano Ronaldo melancarkan saluran YouTubenya sendiri semalam dan pantas menarik minat jutaan peminat untuk melanggannya.
Dalam hanya tempoh kurang 90 minit, ia melepasi sejuta pelanggan, paling pantas berbanding dengan mana-mana saluran YouTube.
YouTube Ronaldo kini mempunyai 10.4 juta pelanggan dan jumlah itu terus meningkat.
“Penantian berakhir. Saluran My @YouTube akhirnya dilancarkan! SIUUUbscribe dan sertai saya dalam perjalanan baharu ini,” kata Ronaldo di media sosialnya.
Apa yang menariknya ialah ketika pelancaran YouTube itu, Ronaldo memberi bayangan dia sudah berkahwin apabila menyebut teman wanitanya selama ini Georgina Rodriguez sebagai ‘isterinya’.
Ikon bola sepak berusia 39 tahun itu menjadi pasangan Georgina sejak 2016 dan mempunyai dua anak manakala Georgina juga menjadi ibu tiri kepada tiga lagi anak Ronaldo.
Kedua-duanya masih belum mengumumkan perkahwinan mereka. Namun Ronaldo memberi petanda dia dan Georgina akhirnya sah sebagai suami dan isteri dalam satu majlis rahsia.
Ia selepas bekas bintang Manchester United itu memperkenalkan ‘isterinya’ dalam saluran YouTube terbarunya itu iaitu Georgina.
Spekulasi perkahwinan mereka turut diperkuatkan selepas Ronaldo dan Georgina kedua-duanya memakai cincin dalam video itu.
Situasi terbabit pantas mendapat respon peminat di media sosial dengan seorang daripada mereka berkata: “Cara dia memanggil dia ‘my wife’ >>>” manakala peminat yang lain berkata: “Dia kata ‘isteri saya, Gio’.”
Ronaldo kini mempunyai 112.5 juta pengikut di platform X, 170 juta di Facebook dan 636 juta di Instagram.