JENAMA minuman berkhasiat, Milo akan menyumbang lebih daripada setengah juta ringgit untuk meraikan dan memberikan penghormatan kepada wira Olimpik Malaysia.

Seramai 56 atlet yang telah bertanding dalam Sukan Olimpik baru-baru ini dan bakal bersaing dalam Sukan Paralimpik akan datang akan menerima sokongan kewangan sebanyak RM10,000 setiap seorang, sebagai pengiktirafan kepada dedikasi dan prestasi mereka.

Majlis penyerahan tersebut dihadiri oleh Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh yang memperlihatkan komitmen berterusan Milo untuk memupuk bakat sukan di Malaysia.

Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada MILO kerana menaja dan menyumbang RM10,000 kepada setiap seorang daripada atlet Olimpik dan Paralimpik kita.

“Sumbangan ini ternyata memberi motivasi kepada atlet kita untuk terus berusaha gigih mencapai kecemerlangan dalam sukan dan mengharumkan nama negara,” kata Hannah dalam majlis penyerahan itu.

Pegawai Eksekutif Perniagaan, Milo, Nestlé (Malaysia) Berhad, Ng Su Yen, berkata, selama lebih 70 tahun, Milo berbesar hati kerana dapat memainkan peranan dalam pembangunan atlet Malaysia, daripada peringkat akar umbi dalam sukan sekolah kepada peringkat mewakili negara di pentas dunia.

“Sumbangan ini ialah cara kami mengucapkan terima kasih kepada insan-insan luar biasa ini yang memberi inspirasi kepada kita.  Kami telah menyaksikan kegigihan ramai atlet mengejar kecemerlangan dan mencapai kejayaan menerusi program akar umbi kami, dan kini mereka menunjukkan kepada dunia apa yang boleh dicapai oleh rakyat Malaysia.

“Dengan menyokong semua atlet Olimpik dan Paralimpik, kami berharap bukan sahaja untuk mengiktiraf titik peluh mereka selama ini tetapi juga memberi dorongan kepada juara sukan masa depan Malaysia,” ujarnya.

Seramai 26 atlet Olimpik Malaysia yang telah bersaing di Paris dan 30 atlet yang sedang bersiap sedia untuk sukan Paralimpik yang bakal membuka tirai akan menerima sumbangan.