SELEPAS hampir tiga bulan sejak saingan Super Schools Rugby (SSR) 2024 disingkap Jun lalu, kejohanan ragbi peringkat sekolah yang menawarkan hadiah paling lumayan tiba ke kemuncaknya dengan Grand Final menemukan Maktab Sultan Abu Bakar (EC) dan bekas juara, SMS Hulu Selangor (SEMASHUR) di Stadium UiTM, Shah Alam pada jam 4.0 petang Ahad ini.
Juara bukan sahaja akan menjulang trofi kejohanan, Piala Cabaran Tan Sri Wan Aziz tetapi juga akan membawa pulang wang tunai sebanyak RM15,000.00, manakala finalis akan memperoleh RM7,000.00.
Dengan pengumuman semua tiket grandstand telah habis dijual, pihak penganjur Enervive Sports berharap semua penyokong dapat hadir ke final dengan kemasukan percuma di bahagian terbuka. Peminat ragbi, pelajar dan alumni digesa untuk tiba lebih awal untuk mendapatkan tempat mereka dan turut dijemput untuk menikmati jualan dan aktiviti sebelum dan semasa perlawanan.
Dalam majlis sidang media SSR Media Scrum hari ini di Enervive Sports, Subang bertujuan memperkenalkan kedua-dua finalis, Ketua Pegawai Eksekutif Enervive Sports, Shahrizin Shaharudin, mendedahkan Grand Final akan dilengkapi penggunaan protokol Pegawai Perlawanan Televisyen atau Television Match Official (TMO) bagi membantu pengadil membuat keputusan yang tepat.
“Selain dilengkapi TMO dengan penggunaan lima kamera, final ini akan disiarkan secara pengstriman langsung dengan audiens yang setakat ini sudah mengumpul lebih 300,000 tontonan sejak sepak mula SSR Jun lalu,” kata Shahrizin.
Maktab Sultan Abu Bakar, Johor Bahru, yang dikenali sebagai English College dengan gelaran EC Steenboks, menunjukkan prestasi yang luar biasa di bawah bimbingan Ketua Jurulatih Abdul Hanis Mokhtar. Selepas tersangkut di peringkat suku akhir di tangan Maktab Tentera Diraja (RMC) tahun lalu, EC telah mempamerkan mutu permainan ragbi yang tangkas dan cekap dan kini berada di ambang kejuaraan SSR sulung mereka.
Kapten pasukan, Mohamad Shahrul Aizam bin Muhammad Daud memainkan peranan penting dalam mengatur serangan berorientasikan backline mereka. Melengkapkan kepimpinan Shahrul adalah kepantasan Muhamad Akif Daniel, yang memukau dengan enam try musim ini. Akif hanya satu try di belakang pendahulu semasa, Asyraf Danish dari SMK Abi, dalam perlumbaan untuk anugerah Penjaring Try Terbanyak.
Bagi SEMASHUR, perlawanan akhir 2024 adalah lebih daripada sekadar sebuah perlawanan – ia adalah satu peluang bagi menebus kegagalan. The Zealords, yang kali terakhir menjulang kejuaraan SSR pada 2019, membuat penampilan perlawanan akhir kedua berturut-turut selepas tewas menentang Victoria Institution tahun lalu.
Ketua Jurulatih Mohd Soleh Abd Hamid telah menerapkan mentaliti juara dalam skuad beliau, yang telah terbukti menerusi permainan bijak dan lincah mereka sepanjang kejohanan.
Kapten pasukan, Uzair Hani Shaha Bahar, memimpin menerusi teladan dengan catatan lima try setakat ini. Sementara itu, Roshan Arivananthan muncul sebagai salah seorang pemain yang paling menyerlah dalam kejohanan, bukan sahaja kerana kepantasannya malah menerusi ketepatannya dalam sepakan.
Roshan kini mendahului carta penjaring terbanyak dengan 66 mata dan akan menjadi watak penting dalam usaha SEMASHUR untuk kemenangan. Sebagai salah satu daripada enam pasukan pengasas yang sebelum ini dikenali sebagai Malaysia Super Six Schools 15s, legasi SEMASHUR dalam sukan ragbi peringkat sekolah adalah tidak asing lagi.
Shahrizin turut menghargai sumbangan penaja yang telah memainkan peranan penting dalam kejayaan kejohanan pada tahun ini.
“Penglibatan sektor swasta adalah nadi kepada sukan akar umbi. Komitmen penaja kami terhadap SSR mencerminkan pengiktirafan yang semakin meningkat tentang kepentingan memupuk bakat muda dan membina ekosistem pengkomersialan sukan yang mampan yang akan menyokong masa depan sukan Malaysia,” kata Shahrizin.
Beliau juga mengambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih kepada rakan penaja IX Telecom, Nestle, Skyworth, Pos Malaysia, Touch n Go, Aeon Big, 100 Plus, Ojas Electronics, Jantzen, People & Pixel, Menara Kuala Lumpur , Ragbi Online, PhysioDoc, dan Universiti Teknologi MARA (UiTM).
Super Schools Rugby 2024 Grand Final
English College lwn SMS Hulu Selangor
Ahad 25 Ogos 2024 | Stadium UiTM, Shah Alam
Pra-perlawanan: 3.00 petang | Sepak mula: 4.00 petang