NEGERI Selangor akan mula bersiap sedia untuk menjadi tuan rumah Sukan Malaysia ke-22 pada 2026 sebaik sahaja tamat edisi Sarawak sekarang.

Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Negeri, Mohd Najwan Halimi berkata program latihan dan pembangunan atlet Selangor akan ditambah baik.

“Selepas pulang dari Sarawak, kita akan mula membuat persiapan bukan sahaja menjadi tuan rumah, tetapi untuk membangunkan atlet berdasarkan persembahan di sini (Sarawak).

“Kelemahan dan kekuatan atlet akan terus dikenal pasti sebelum program pembangunan untuk Sukma 2026 dirangka,” kata Najwan.

Mengenai pencapaian Sukma 2024 setakat ini, beliau berkata Selangor berada di landasan yang betul untuk menamatkan saingan dalam kelompok tiga teratas.

“Kami hanya perlu memastikan atlet kami fokus dan memberikan yang terbaik untuk baki tiga hari kejuaraan,” tambahnya.

Pada 18 Julai, Jawatankuasa Peringkat Tinggi Sukan Malaysia memutuskan Selangor akan menganjurkan Sukma 2026.

Keputusan ini dibuat selepas Selangor menawarkan diri untuk menggantikan Majlis Sukan Negara, yang sepatutnya menjadi penganjur berdasarkan sistem penganjuran berasaskan giliran. Kali terakhir Selangor menganjurkan temasya sukan berprestij itu pada 1998.