PELARI kebangsaan, Umar Osman mencipta sejarah peribadi apabila bukan sahaja memenangi pingat emas keempat peribadinya tetapi juga berjaya memecah rekod 32 tahun Sukan Malaysia (SUKMA) dalam acara 800 meter di Stadium Sarawak pada Jumaat.
Umar mecahkan rekod baharu itu dengan catatan masa 1:51.19 sekali gus memecah rekod kejohanan yang kali terakhir dilakukan di Temasya Sukan Malaysia ke-4 di Johor pada 1992.
Selepas membantu kuartet 4 x 400 meter lelaki dan campuran serta memecahkan rekod acara kegemarannya 400 meter individu, pelari berusia 21 tahun berpuas hati dengan pencapaian empat pingat emas diperolehinya buat Kontinjen Johor pada temasya Sukma terakhirnya.
Kejayaan berganda untuk SUKMA kali ini ditujukan khas untuk kedua ibu bapa, dan Umar berterima kasih kepada Majlis Sukan Negeri Johor (MSNJ) yang telah banyak membantunya untuk menjadi atlet yang lebih lengkap.
“Saya sangat puas hati kerana menang empat emas dan pecah tiga rekod untuk Johor. Saya tujukan kejayaan ini buat kedua ibu bapa saya yang banyak menyokong serta jurulatih dan ‘team’ Johor yang banyak beri bantuan sains sukan kepada saya,” katanya.
Misi seterusnya adalah mempersiapkan diri dan sentiasa berada pada tahap terbaik untuk menghadapi Sukan SEA 2025 di Thailand bagi mempertahankan pingat emas yang dimenangi ketika edisi 2023 lalu.
Secara keseluruhan pasukan Olahraga Johor berjaya mengutip sembilan pingat emas, lima pingat perak dan empat pingat gangsa sepanjang temasya Sukan Malaysia 2024 di Stadium Sarawak.