KAPTEN Selangor FC, Safuwan Baharudin mendedahkan bahawa setiap pemain pasukan lawan iaitu dari Johor Darul Ta’zim (JDT) perlu dipantau dalam aksi final Piala FA 2024 yang akan berlangsung pada Sabtu.

Akui bakal berdepan dengan tugas yang sukar, tonggak Gergasi Merah itu bagaimanapun tidak menafikan kualiti yang ada pada rakan sepasukannya dan memandang positif akan kelebihan yang terdapat dalam kedua-dua finalis Piala FA.

“Kita perlu mengawasi kesemua pemain JDT. Kedua-dua pasukan mempunyai pemain berkualiti masing-masing dan saya rasa persiapaan semuanya agak adil untuk esok.

“Semua yang akan bertandang ke stadium esok mahupun yang melihat perlawanan dari rumah pasti bakal menyaksikan satu perlawanan hebat yang menampilkan pertembungan antara dua pasukan gergasi,” ujar Safuwan ketika dalam sesi sidang media pra-perlawanan final Piala FA 2024.

Sidang media pra-perlawanan final Piala FA 2024.

Dalam perkembangan sama, Safuwan turut mengakui bahawa tidak mudah berhadapan dengan skuad Harimau Selatan lebih-lebih lagi dengan mengambil kira rekod pertemuan sebelumnya.

Sebagai bukti, pasukan Selangor telah tewas tiga kali kepada pasukan JDT pada musim lalu dan itu termasuk kekalahan 4-0 di tangan Harimau Selatan pada peringkat separuh akhir Piala FA tahun 2023.

“Walau apapun, kami tidak mahu masuk ke final dan mempunyai permainan dan pemikiran negatif. Saya pasti perlawanan esok akan jadi yang terbaik buat pasukan kami.

“Macam jurulatih (Nidzam Jamil) kata, perlawanan ini sukar. Tapi tiada sesiapa mahu datang (ke final) untuk kalah. Jadi, pada akhirnya, kita ada sasaran kita sendiri. Motivasi untuk diri sendiri sangat tinggi,” tambah Safuwan.