BRIGED Sukarelawan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam sekali lagi dipilih oleh Malaysia Football League (MFL) untuk bertugas dalam aksi kemuncak Piala FA 2024-2025 yang bakal berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil malam ini.

Sebanyak 75 sukarelawan dari UiTM telah diberi tanggungjawab besar untuk membantu kelancaran acara ini yang menemukan perlawanan epik antara Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Selangor FC akan menjadi pentas penentu juara Piala FA musim ini.

Briged Sukarelawan UiTM, di bawah pengurusan Pusat Kokurikulum UiTM, telah melakar nama sebagai salah satu pasukan sukarelawan yang komited dalam pelbagai acara besar di Malaysia. Penglibatan mereka dalam acara sukan utama seperti Piala FA ini menunjukkan kepercayaan tinggi MFL terhadap kemampuan dan profesionalisme mereka.

Sudah pastinya, pengalaman yang diperoleh sukarelawan di acara ini akan memupuk semangat kerja berpasukan dan melatih mereka untuk menghadapi cabaran dalam suasana profesional.

Briged Sukarelawan UiTM turut mengucapkan selamat bertugas kepada semua sukarelawan yang terlibat, sambil berharap malam ini menjadi satu pengalaman bermakna buat semua yang terlibat.

Final Piala FA 2024-2025 ini dijangka akan berlangsung dengan penuh kemeriahan, dengan penyokong kedua-dua pasukan hadir membanjiri Stadium Nasional Bukit Jalil untuk menyaksikan pertembungan dua gergasi bola sepak Malaysia.