“TAHNIAH untuk JDT, saya rasa ini (keputusan) refleks untuk kita (Selangor) betapa kena kerja keras lagi selepas ini, kena betulkan banyak perkara, kena prepare lebih baik!”

Demikian menurut Ketua Jurulatih Selangor FC, Nidzam Jamil mengakui pasukannya perlu bekerja lebih keras selepas dibelasah Johor Darul Ta’zim FC (JDT) 6-1 pada final Piala FA di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu malam.

Nidzam Jamil mengakui tidak gembira dengan kekalahan 6-1 di final Piala FA.

Pengalaman JDT beraksi di banyak perlawanan akhir setiap tahun, diakui menjadi pemisah dan pengendali berusia 44 tahun itu menjelaskan kekalahan kepada skuad Harimau Selatan itu menjadi bukti, beraksi di final bukan untuk cuba cuba.

Nidzam mengakui kecewa dengan keputusan itu yang meletakkan The Red Giants menjadi pasukan yang mengalami kekalahan terbesar di pentas akhir Piala FA sejak 1990.

JDT berpengalaman bermain di final dan tahu cara menjaringkan gol.

“Jujur tak gembira. Memang tak gembira. Keputusan yang mengecewakan banyak tempat, banyak pihak. Benar kami tak gembira dengan keputusan ini.

“Ini menunjukkan betapa kami kena kerja keras lagi. Kena bersiap sedia lebih baik dan dengan keputusan ini, kami perlu sediakan pasukan dengan lebih baik lagi,” katanya.

Pada perlawanan itu, Juan Muniz meledak tiga gol dan tiga lagi disumbangkan Arif Aiman Hanapi, Bergson Da Silva dan Heberty Fernandez membantu JDT membantu JDT menjulang Piala FA buat kali ketiga berturut-turut sejak 2022.

Gol saguhati Selangor dijaringkan Alvin Fortes.