PEMAIN beregu negara yang juga wakil tunggal Malaysia di final, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani, menamatkan penantian kejuaraan 22 tahun apabila bergelar juara Terbuka Jepun di Yokohama Arena pada Ahad.

Selepas cemerlang menewaskan gandingan dari Indonesia, Leo Rolly Carnando-Bagas Maulana di separuh akhir, Sze Fei-Izzuddin ke final untuk bertemu beregu Korea Selatan, Kang Min-hyuk-Seo Seung-jae yang turun sebagai pilihan ketiga kejohanan.

Dari segi rekod pertemuan, kelebihan memihak kepada Min-hyuk dan Seung-jae dengan pasangan Republik Korea itu memenangi kesemua tiga perlawanan antara kedua-dua pasangan sebelum ini.

Kali terakhir kedua-dua pasangan ini bertemu ialah ketika Badminton Asia Team Championship (BATC) 2024 dengan keputusan memihak Min-hyuk-Seung-jae dengan keputusan 21-13, 21-18.

Set pertama menyaksikan kedua-dua beregu saling bersaing mendapatkan mata. Pada satu ketika, kedua-duanya terikat pada kedudukan 15-15 sebelum beberapa kesilapan yang dilakukan Min-hyuk-Seung-jae membuka ruang kepada kemenangan Sze Fei-Izzuddin dengan keputusan 21-19.

Set kedua menyaksikan juara Abu Dhabi Masters itu meraih kelebihan selesa pada kedudukan 11-8. Ini susulan beberapa pukulan yang dilakukan pasangan lawan kerap tersangkut di jaring dan kesempatan itu digunakan pasangan negara untuk menang 21-15.

Kemenangan itu menyaksikan Fei-Izzuddin membawa pulang hadiah bernilai AS$62,900 sementara Min-hyuk-Seung-jae terpaksa berpuas hati dengan gelaran naib juara dengan hadiah kemenangan bernilai AS$29,750

Ini juga kali terakhir Sze Fei-Izzuddin beraksi di bawah naungan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) selepas badan induk itu mengumumkan beregu nombor 12 dunia itu akan bergelar pemain profesional berkuatkuasa 1 September 2024.