TOTTENHAM Hotspur berjaya melenyapkan keraguan terhadap diri sendiri selepas kemenangan dominan 4-0 ke atas Everton dalam aksi Liga Perdana Inggeris malam tadi dengan pengurus Ange Postecoglou percaya pemainnya mampu bertindak lebih cemerlang selepas ini.
Tottenham diikat 1-1 oleh Leicester City pada aksi pertama musim mereka Isnin lalu, mengecewakan Postecoglou dan pemainnya namun mereka kreatif dan klinikal berdepan Everton dengan persembahan terpuji.
“Saya sering kali menaruh harapan dan saya yakin di dalam hati. Anda perlu berada di perlawanan kami, banyak yang boleh mengecewakan anda,” kata Postecoglou kepada wartawan.
“Persembahan (di Leicester) amat bagus tetapi apabila anda tidak mendapat keputusan yang dikehendaki, ada sedikit keraguan di sana.
“Kami bermain bagus perlawanan itu dan mendominasinya, hari ini ia sedikit berbeza. Pemain mempunyai minda yang kuat dan kami mendapat gol yang amat bagus pada awal aksi dan tidak menoleh ke belakang selepas itu.
“Persembahannya amat bagus. Ia benar-benar menggalakkan buat kami. Ada lebih lagi (peningkatan). Kami mahu terus bertindak cemerlang.”
Yves Bissouma meledak gol pertamanya bersama Tottenham untuk membuka tirai jaringan menentang Everton selepas dia digantung oleh kelab itu bagi kunjungan ke Leicester selepas didapati menghisap nitrus oksida dalam satu video.
“Ia satu permulaan bagus (buat Bissouma),” kata Postecoglou. “Dia masih perlu bekerja keras. Saya tidak ragu-ragu dengan kualiti permainannya. Kami mahu menjadikan versi terbaik buatnya. Ia bermula di luar padang begitu juga di dalam padang.”
Dengan kurang seminggu sebelum jendela perpindahan musim panas ditutup Jumaat depan, Postecoglou menyatakan masih ada pemain datang dan pergi di kelab itu.
Tottenham sudah mencipta rekod kelab apabila mengikat penyerang Dominic Solanke dari Bournemouth dengan harga £65 juta dalam pasaran perpindahan kali ini.