SELANGOR FC menerusi Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr Johan Kamal Hamidon memohon maaf kepada semua penyokong Gergasi Merah susulan kekalahan besar 1-6 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam aksi final Piala FA 2024/25 di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Sabtu.

Johan menjelaskan Selangor akan cuba membanggakan penyokong dengan meraih keputusan yang lebih baik dalam kejohanan akan datang termasuk Piala Malaysia dan Liga Juara-Juara AFC 2 2024-25.

Beliau turut mengakui kekalahan besar kepada JDT amat mengecewakan, namun berterima kasih kepada seluruh penyokong Gergasi Merah atas sokongan yang mereka berikan.

CEO Selangor FC, Dr Johan Kamal Hamidon memohon maaf kepada para penyokong selepas kekalahan kepada JDT

“Perkara yang kami paling sedih dan kecewa sebab tidak dapat memberikan sesuatu yang baik kepada peminat dan penyokong yang saya fikir menantikan pada perlawanan ini.

“Kami mohon maaf kerana tidak dapat berikan keputusan yang lebih baik, tapi kami akan terus memberikan komitmen untuk bekerja keras lagi,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan.

Johan turut menyifatkan kekalahan kepada Harimau Selatan sebagai keputusan yang sukar untuk diterima buat kelab namun tetap berbangga dengan komitmen yang diberikan semua pihak termasuk barisan kejurulatihan dan pemain ketika menentang JDT yang dianggap pasukan lebih berpengalaman.

Lebih 40,000 penyokong Merah Kuning membanjiri Stadium Nasional Bukit Jalil

“Pengalaman JDT lebih luas dan mereka nampak lebih selesa bermain di final. Bagi Selangor, kami kena belajar dari kekurangan yang ada pada aksi final. Sudah pasti keputusan ini memang sukar untuk diterima, tetapi ia memberi kita satu peluang untuk muhasabah dan perbaiki apa yang kurang,” katanya.

Kekalahan itu menyaksikan Selangor gagal menamatkan penantian 15 tahun untuk kembali menjulang Piala FA selain juga menyaksikan Gergasi Merah menjadi pasukan yang mengalami kekalahan terbesar dalam sejarah perlawanan akhir kejohanan itu sejak 1990.