KEKALAHAN 6-1 Selangor FC kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam aksi final Piala FA di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Sabtu menyaksikan kelab itu akan melakukan bedah siasat tentang prestasi pasukan.

Mereka juga akan mengenalpasti segala kelemahan selepas tidak dapat memberikan cabaran kepada Harimau Selatan dan perkara ini perlu dilakukan bagi memastikan mereka lebih bersedia untuk menghadapi kempen Liga Juara-Juara AFC 2 yang bermula pada September.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr Johan Kamal Hamidon mengakui bertemu pasukan seperti JDT yang mempunyai karakter tersendiri di dalam padang membolehkan mereka melihat semula keupayaan pasukan dan dijadikan sebagai pengukur untuk menghadapi lawan di ACL 2 nanti.

Johan Kamal Hamidon akui banyak perkara perlu diperbaiki oleh Selangor FC 

“Bila kita bermain dengan pasukan yang ada kualiti tinggi seperti JDT, kita nampak beberapa kelemahan yang kita tidak nampak sebelum ini apabila bermain dengan pasukan lain.

“Kita akan beri perhatian dan atasi kelemahan ini serta kena belajar kerana kebarangkalian untuk bermain dengan pasukan bertaraf seperti JDT di ACL 2 sangat tinggi.

“Mungkin kita akan lawan pasukan berkualiti dengan cara bermain dia lebih kurang macam JDT dan kalau kita tidak perbaiki, mungkin kita akan terima padah dengan keputusan yang tidak memberangsangkan,” katanya.

Dalam saingan tier kedua kelab Asia itu nanti, naib juara Liga Super itu akan berdepan jaguh Republik Korea, Jeonbuk Hyundai Motors serta kelab Thailand, Muangthong United dan pasukan Dynamic Herb Cebu dari Filipina.

Selangor akan memulakan cabaran pada 19 September di Bangkok bertemu Muangthong United dalam aksi Kumpulan H dengan dua pasukan teratas akan layak ke peringkat 16 terbaik selepas tamat enam perlawanan.