SETIAP persatuan sukan kebangsaan (PSK) seharusnya lebih aktif menyediakan atlet, baik dari segi latihan, penyertaan kejohanan mahupun penganjuran kejohanan di peringkat kebangsaan dan bertaraf antarabangsa.

Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Sukan) Majlis Sukan Negara (MSN) Jefri Ngadirin berkata, tidak banyak PSK yang mengambil tanggungjawab menganjurkan kejohanan kebangsaan dan berasakan perkara sedemikian tidak seharusnya berlaku.

Persatuan Sukan Kebangsaan seharusnya memainkan peranan dalam menganjurkan kejohanan terbuka di peringkat kebangsaan dan bertaraf antarabangsa. -Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Sukan) Majlis Sukan Negara (MSN) Jefri Ngadirin

“Saya percaya persatuan sukan perlu memikul tanggungjawab menganjurkan lebih banyak pertandingan di peringkat kebangsaan, kerana ia bakal mewujudkan lebih peluang kepada atlet bersusia lebih 21 tahun,” kata Jefri ketika diminta mengulas mengenai cadangan beberapa pihak agar Sukan Malaysia (Sukma) dianjurkan kepada penyertaan terbuka tanpa had umur.

Menurutnya, PSK mempunyai pilihan bantuan daripada kerajaan, baik dari Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mahupun MSN, menerusi geran sukan yang sepadan.

Untuk rekod, KBS memperuntukkan RM50 juta bagi geran padanan sukan bagi tahun 2024 sebagai tanda menyokong penganjuran aktiviti sukan.