PERSEKUTUAN Bola Sepak Asean (AFF) meminda tarikh Kejuaraan Asean Piala Mitsubishi Electric 2024 yang pada asalnya dijadualkan pada 23 November hingga 21 Disember 2024 kepada 8 Disember 2024 hingga 5 Januari 2025.
Ini selepas AFF mengambil pandangan daripada semua pihak yang membolehkan semua negara yang bertanding dapat menghantar skuad terbaik pada kejohanan yang memasuki edisi ke-15 itu.
Namun begitu, tarikh perlawanan bagi pusingan kelayakan yang melibatkan pasukan Brunei Darussalam dan Timor Leste tidak berubah dan kekal dimainkan pada 8hb dan 15hb Oktober 2024 dengan pemenang akan layak ke Kumpulan A.
Selain mengumumkan pindaan tersebut, AFF turut mengeluarkan jadual perlawanan lengkap bagi kesemua pasukan serta jadual final yang akan berlansung pada 2 dan 5 Januari 2025.
Malaysia kendalian Pau Marti yang telah diundi dalam Kumpulan A akan memulakan kempen peringkat kumpulan dengan menentang Kemboja di tempat lawan pada 8hb Disember 2024 diikuti perlawanan bertemu pemenang play off pada 11hb Disember 2024 di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Selepas itu, skuad Harimau Malaya akan ke Bangkok untuk bertemu juara bertahan, Thailand pada 14 Disember 2024 sebelum menamatkan aksi kumpulan bertemu Singapura di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 20 Disember 2024.
Juara dan naib juara setiap kumpulan akan layak ke peringkat separuh akhir dengan aksi pertama pada 26 dan 27 Disember 2024 serta aksi kedua pada 29 dan 30 Disember 2024.
Perlawanan akhir juga akan berlangsung secara timbal balik di dua gelanggang finalis pada 2 dan 5 Januari 2025 untuk menambalkan juara terbaharu bola sepak Asia Tenggara.