MENTERI Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad mengesahkan dia tidak akan bertanding merebut jawatan Presiden KLFA dalam majlis pemilihan persatuan itu pada 7 September 2024.
Ini selepas barisan kabinet membuat keputusan agar tidak ada anggota pentadbiran yang memegang apa-apa jawatan dalam persatuan sukan selepas mesyuarat Kabinet berlangsung pada Rabu.
Nik Nazmi mengumumkan sendiri usul ini selepas beliau memuat naik hantaran di laman sosial peribadinya dan menyatakan dia masih tetap menyokong KLFA dalam pembangunan bola sepak Kuala Lumpur.
“Kabinet hari ini memutuskan untuk anggota pentadbiran tidak bertanding jawatan persatuan sukan.
“Justeru, saya menerima keputusan tersebut dan menarik diri daripada bertanding jawatan Presiden KLFA.
“Saya akan terus komited menyokong KLFA membangunkan ekosistem bola sepak yang sihat dan menyokong kejayaan KL City FC sebagai pasukan bola sepak profesional,” menurut kenyataan itu.
Ahli Parlimen Setiawangsa itu bagaimanapun akan kekal menjadi penaung kepada kelab bola sepak Setiawangsa Rangers.
“Pada masa sama saya akan terus menaungi kelab bola sepak Setiawangsa Rangers, salah satu kelab gabungan KLFA, yang saya asaskan pada 2018,” jelasnya.
Selain Nik Nazmi, seorang lagi ahli kabinet, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil juga sudah pasti tidak dapat bertanding jawatan presiden meskipun sudah mengesahkan pencalonan minggu lalu dan setakat ini beliau masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung perkara ini.
Perkara ini sudah pasti menjadi satu lagi penghalang untuk sesi pemilihan KLFA selepas ianya digugat siasatan SPRM terhadap persatuan itu.