KERAJAAN mengesahkan bahawa Malaysia sah menjadi tuan rumah Sukan Sea 2027, selepas mesyuarat Jemaah Menteri yang dipengerusi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan persetujuan bagi penganjuran tersebut.

Pengumuman itu dibuat Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam satu kenyataan yang diedarkan, bahawa kerajaan menerima tawaran daripada Persekutuan Sukan SEA (SEAGF) untuk menjadi tuan rumah temasya Sukan SEA 2027.

Kenyataan Media KBS berhubung penganjuran Sukan Sea 2027.

“Keputusan ini dipersetujui Jemaah Menteri dalam mesyuarat yang dipengerusikan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, setelah mengambil kira komitmen penganjuran bersama oleh tiga negeri lainnya,” menurut kenyataan KBS.

Sebelum ini, Sarawak, Sabah dan Pulau Pinang telah menyatakan kesediaan untuk menggunakan peruntukan masing-masing bagi menjadi penganjur bersama dengan Kuala Lumpur.

Justeru, Sukan Sea 2027 bakal menyaksikan empat negeri menjadi tuan rumah bersama, iaitu Kuala Lumpur, Sarawak, Sabah dan Pulau Pinang.

Artikel Berkaitan:

Sukan Sea 2027 : Empat negeri bakal jadi penganjur bersama

Flash Sukan sebelum ini melaporkan, empat negeri bakal menjadi tuan rumah bersama temasya sukan dwi tahunan itu, selepas menerima penawaran diri dari kerajaan negeri terbabit.

Dalam masa yang sama, jemaah Menteri turut merakamkan ucapan tahniah kepada Kerajaan Sarawak dan Jawatankuasa Penganjur Sukan Malaysia (SUKMA) XXI yang telah berjaya mengendalikan penganjuran temasya berakhir pada 24 Ogos lalu dengan jayanya.