PELUMBA pasukan Honda Estremo Yuzy Racing, Azroy Hakeem Anuar akan meneruskan persaingan di kategori CP150 untuk mempertahankan kedudukannya apabila Kejuaraan Petronas MAM Malaysia Cub Prix bersambung untuk pusingan ketujuh di Litar Tangkak, Johor hujung minggu ini.

Azroy yang berjaya mencatat kemenangan pertamanya bagi musim ini di litar Terengganu menganggap ianya adalah motivasi baharu bagi dirinya untuk mengorak langkah ke arah menjadi juara keseluruhan.

Dia hadir ke Tangkak kali ini dengan misi merapatkan jurang dengan menganggap pasukan CKJ Racing adalah pencabar utama dan Litar Tangkak dianggap sebagai litar teknikal yang memerlukan tumpuan penuh sepanjang perlumbaan.

“Dari segi motosikal, pasukan CKJ adalah pencabar utama saya kerana motosikal mereka amat konsisten dan laju di setiap litar. Cabaran kami adalah untuk mendapatkan tahap kelajuan yang sama supaya dapat merapatkan lagi jurang di antara mereka.

“Litar Tangkak adalah litar yang agak teknikal dan memerlukan kekuatan enjin yang bagus untuk bersaing di hadapan. Pasukan saya sentiasa melakukan kerja yang baik untuk memastikan jentera kami dalam keadaan yang optimum ketika berlumba dan saya juga sentiasa memberikan 100 peratus ketika menunggang.

“Matlamat saya pada pusingan yang akan datang adalah untuk mengurangkan jurang di antara pelumba di tangga teratas dan menambah koleksi podium dan kemenangan,” jelasnya.

Selepas berakhir enam perlumbaan, Azroy sudah mengumpul 91 mata ketinggalan 34 mata kepada pendahulu, Akid Aziz dan sudah pasti dia mahu mendapatkan mata maksimum untuk merapatkan kedudukan dalam senarai keseluruhan.