KEPUTUSAN seri tanpa jaringan dicapai Sabah, pada perlawanan pertama kelayakan Liga Juara-Juara AFC Wanita 2024-25, di Stadium Likas, disifatkan sebagai memuaskan.

Pengenndali skuad wanita Sabah, Justin Ganai berkata, keputusan itu cukup menggembirakan selepas anak-anak buahnya mengikat kelab Nepal, APF FC, tanpa jaringan pada Rabu.

Begitupun, Justin mahu prestasi pemainnya dipertingkat menjelang perlawanan kedua 31 Ogos nanti.

“Terima kasih kepada pemain selepas mereka lakukan yang terbaik sepanjang perlawanan dan keputusan seri ini adalah adil buat kedua-dua pasukan walaupun lawan mempunyai banyak peluang dan harap kita dapat beraksi lebih baik pada perlawanan akan datang.

“Kita sudah menjangka ada pemain yang sedikit gugup kerana persiapan kami sangat pendek dan dapat dilihat kita kehilangan banyak bola ketika membuat hantaran yang menyebabkan kita tertekan.

“Aksi selepas ini menentang Nasaf, pasti sukar kerana mereka adalah pasukan yang bagus dengan kesemua 11 pemain mereka mempunyai kekuatan dan kita masih mencari titik kelemahan mereka dan kami akan bermain dengan corak bertahan,” katanya.

Sementara itu, penjaga gol Sabah, Nurul Azurin Mazlan yang dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan mengakui keputusan positif ini dapat dicapai hasil kerjasama sepasukan dan dia memuji kesemua pemain yang memberikan aksi 100 peratus dalam perlawanan.

Ketenangan Azurin bantu pemain Sabah lebih tenang ketika beraksi

“Walaupun saya dipilih pemain terbaik, tetapi ianya adalah usaha berpasukan dan bukannya kerana saya seorang. Semua pemain berikan yang terbaik untuk mendapat keputusan seri ini jadi pada saya semuanya adalah pemain terbaik dalam perlawanan ini,” jelasnya.

Keputusan seri itu menyaksikan Sabah mengutip mata pertama di peringkat Asia dan masih berpeluang layak ke peringkat kumpulan andai dapat menewaskan PSF Nasaf pada Sabtu manakala APF FC terpaksa mengucapkan selamat tinggal selepas tersingkir dari kejohanan.