TEMASYA Sukan Paralimpik Paris 2024 bermula secara rasmi sebaik upacara pembukaan yang langsungkan penuh gilang-gemilang di ibu negara Perancis.

Presiden Perancis, Emmanuel Macron dan Presiden Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa, Andrew Parsons turut memeriahkan majlis itu di Place de la Concorde.

Macron dalam ucapan perasmiannya menzahirkan rasa teruja kerana dapat terlibat secara rasmi mengisytiharkan Sukan Paralimpik Paris 2024 dibuka.

Perasmian itu menyaksikan persembahan pemuzik, penulis lagu dan penerbit dari Kanada, Chilly Gonzales, bersama barisan penyanyi lain, penari dan DJ yang menghiburkan orang ramai.

Kira-kira 4,400 atlet para mewakili 168 delegasi, termasuk pasukan pelarian, tiba di dataran dengan berjalan kaki, berarak di sepanjang Champs-Elysees Avenue.

Sukan Paralimpik Paris akan berlangsung hingga 8 September dengan acara pertama memulakan saingan pada Khamis.

Paralimpik 2024 akan mempertanding 22 sukan melibatkan 23 disiplin, termasuk bola sepak buta, boccia, goalball, memanah, olahraga, badminton, kanu, berbasikal lebuhraya, berbasikal trek, ekuestrian, judo, powerlifting, mendayung, renang, ping pong, taekwondo, triatlon, menembak, bola tampar duduk, bola keranjang berkerusi roda, lawan pedang berkerusi roda, ragbi kerusi roda dan tenis kerusi roda.

Semua acara berlangsung di 18 venue, termasuk Stade de France, Stade Roland-Garros, Stadium Menara Eiffel, Pont Alexandre III, dan Grand Palais.

-Agensi