KETUA Jurulatih Melaka United FC, Asri Ninggal mendedahkan bahawa pada awalnya Ifedayo Olusegun tidak ada dalam senarai barisan utama pemain dalam aksi bertemu Selangor FC di Stadium Hang Jebat, Selasa malam.
Bagaimanapun keputusan akhir yang dibuat untuk memasukan Ifedayo telah membuahkan hasil dengan dua gol sekaligus memberi kemenangan ke atas Selangor FC.
“Kalau ikutkan Ifedayo tiada dalam perancangan kami malam ini. Tetapi sebab dia mahu diturunkan bertemu bekas pasukannya, kami membenarkan dia beraksi.
“Kami memantau kecederaan yang dialaminya dan kami dapati dia sudah semakin pulih dan keputusan untuk menyenaraikan dia adalah tepat kerana dia berjaya memberikan kami kemenangan.
“Saya harus memberikan kredit kepada para pemain. Mereka menunjukkan kesungguhan dan melupakan kepenatan walaupun hanya mempunyai tempoh rehat dua hari. Mereka tunjuk yang mereka hendak bermain bola,” ujarnya selepas perlawanan.
Melaka United FC mempunyai tempoh rehat hampir 15 hari dan Asri menganggap ianya cabaran buat pemain untuk mengekalkan kemenangan dan mahu mereka mengambil kesempatan mengumpul sebanyak mata apabila beraksi di laman sendiri.