PEMAIN sayap Harimau Malaya, Faisal Halim masih tidak dapat “move on” dari kunjungannya menyaksikan hari pertama sesi latihan pusat skuad Harimau Malaya, untuk menghadapi Pestabola Merdeka.
Difahamkan, kehadirannya bukan sekadar memberi kejutan kepada rakan sepasukan yang akan menggalas tanggungjawab 4 hingga 8 September itu, malah dikejutkan dengan kesudian Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin yang menghulurkan sumbangan peribadi kepadanya.
Menerusi perkongsian pemain Selangor FC yang mesra disapa Mickey itu di media sosialnya hari ini, Faisal mengucapkan terima kasih kepada FAM khususnya presiden badan induk bola sepak negara, atas sumbangan yang diberi kepadanya pada pertemuan di Wisma FAM di Kelana Jaya.
“Saya cukup terharu dengan keprihatinan Datuk Haji Hamidin dan FAM yang sentiasa menjaga kebajikan para pemain Harimau Malaya.
“Besar maknanya sumbangan yang saya terima ini kerana ia menjadikan saya lebih bermotivasi dan bersemangat untuk kembali pulih dan dapat beraksi semula bersama skuad Harimau Malaya,” katanya menerusi hantaran Facebook.
Menurutnya, pertemuan dengan barisan kejurulatihan dan rakan sepasukan sebelum sesi latihan semalam, membangkitkan semangatnya untuk kembali bersama Harimau Malaya selepas ini.
“Tidak lupa juga kepada rakan-rakan media yang sentiasa setia membuat liputan mengenai perkembangan saya dan juga pasukan Harimau Malaya.
“Kepada semua, teruskan menyokong Harimau Malaya!”
Artikel Berkaitan:
Faisal Halim sebak, sedia berjuang demi Harimau Malaya
Semalam, Flash Sukan melaporkan Mickey hadir ke sesi itu atas jemputan daripada Datuk Hamidin, malah pemain yang sedang dalam pemulihan dari insiden simbahan asid itu menyatakan rasa rindu akan detik menjalani latihan bersama skuad kebangsaan.