SELEPAS cabaran di Terbuka Korea berakhir di pusingan kedua, beregu lelaki negara, Choong Hon Jian-Muhammad Haikal Nazri nekad bangkit di Terbuka Hong Kong bulan depan.
Menurut Haikal, mereka hanya mempunyai masa seminggu untuk memperkemaskan semula permainan sebelum menyambung semula perjuangan dan mencapai impian menempatkan diri di Jelajah Dunia Akhir (Disember).
“Apabila kita balik nanti, kita ada seminggu untuk kembali mempersiapkan diri. Saya akan membaiki apa yang perlu terutamanya dari segi mental,” kata pemain kelahiran Kelantan itu.
Hon Jian-Haikal terpaksa akur kelebihan yang dimiliki Choi Sol Gyu-Heo Kwang Hee apabila mendapat sokongan padu peminat tempatan sekali gus menyaksikan mereka tumpas 18-21, 21-12, 17-21 di Stadium Tertutup Mokpo.
Bagaimanapun, Haikal mengakui sokongan peminat tuan rumah bukanlah menjadi faktor kepada kekalahan mereka, sebaliknya diri sendiri ketika berada di dalam gelanggang.
“Tidak ada apa-apa gangguan mengenai penyokong tuan rumah yang bising sedikit. Tidak ada apa-apa masalah, semuanya atas diri sendiri. Mereka pun bermain dengan pantas dan mengekalkan rentak.
“Kami berdepan masalah pada mata-mata terakhir, kesilapan mudah, peluang untuk matikan pukulan lawan kami tidak matikan, banyak hilang mata,” kata pemain berusia 22 tahun itu.
Sementara itu, Hon Jian mengakui semalam bukanlah hari yang memihak kepada mereka walaupun sudah merasakan semunya berjalan dengan lancar.
“Akhir-akhir sekali kita penat, beberapa mata kehilangan di atas permainan yang teruk dan kurang bagus,” katanya.
Hon Jian-Haikal mencetus sensasi pada pusingan pertama apabila menumpaskan rakan senegara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani yang baru sahaja menjulang trofi Terbuka Jepun hujung minggu lalu.
Bagaimanapun, momentum kemenangan itu tidak dapat diteruskan semalam dan perlu bangkit semula di Hong Kong bagi mengekalkan kedudukan terbaik di ranking Jelajah Dunia Akhir.