PENYERANG skuad Harimau Malaya, Syafiq Ahmad tidak melihat saingan di bahagian serangan skuad kebangsaan sebagai sesuatu yang negatif sebaliknya dia melihat ianya sebagai sesuatu yang baik untuk meningkatkan kualiti pasukan pada saingan Pestabola Merdeka 2024.

Pemain Kedah Darul Aman FC itu dipanggil oleh pengendali baharu, Pau Marti Vicente selepas terpaksa digugurkan dari kem latihan pusat pada Mei dan Jun selepas mengalami kecederaan dan terpaksa merebut tempat bersama empat lagi pemain penyerang.

Dia bakal bersaing dengan Darren Lok, Paolo Josue, Haqimi Azim dan Romel Morales serta Zhafri Yahya untuk membentuk barisan serangan terbaik bagi menghadapi cabaran Filipina dalam perlawanan pertama kelak.

“Bagi saya persaingan yang sihat itu bagus untuk tingkatkan kualiti pasukan dan siapa yang terpilih perlu tunjukkan komitmen masing-masing dalam kem dan dapat dilihat komitmen pemain sangat baik dan ini bagus untuk pasukan.

“Syukur kembali dapat panggilan dan saya akan lakukan yang terbaik dengan rakan-rakan yang lain walaupun kami masih belum buat latihan taktikal tetapi harap kami dapat sesuaikan diri dengan cepat terhadap taktikal baharu.

“Saya juga berharap momentum di kelab dapat bantu saya beri yang terbaik buat Malaysia dengan misi peribadi saya sebagai penyerang sudah tentu mahu jaringkan gol tetapi apa yang penting bantuan saya untuk pastikan pasukan sentiasa menang,” katanya ketika ditemui di sesi latihan rasmi Harimau Malaya.

Penyerang berusia 29 tahun itu juga mengakui dia tidak mempunyai banyak info mengenai pasukan Filipina tetapi dia percaya dengan sokongan padu penyokong, mereka boleh mendapatkan keputusan yang positif.

“Kami tidak tahu tentang Filipina kerana mereka juga tukar jurulatih dan berharap penyokong yang masih teruja dengan Harimau Malaya untuk hadir dan beri sokongan pada kami,” jelasnya

Syafiq kini sudah mengumpul 37 kaps bersama skuad kebangsaan dan berjaya menjaringkan 10 gol sepanjang kariernya dengan gol terakhir untuk Harimau Malaya disumbangkan ketika menewaskan Bangladesh 4-1 dalam aksi Kelayakan Piala Asia 2023 di Bukit Jalil.