KELANTAN Warriors ditabalkan sebagai juara Divisyen 1 Sepak Takraw League (STL) 2024 selepas berjaya menundukkan cabaran Selangor Pistons dalam perlawanan akhir yang berlangsung sebentar tadi.

Pasukan kendalian Adha Mama bermula dengan langkah kiri apabila pasukan dari pantai timur itu ketinggalan pada set pertama 12-15.

Tersentak dengan keputusan set pertama, pemain Kelantan Warriors yang dibarisi oleh Adli Abu Bakar, Fakhrul Akmal dan Rusdee Leerem memperkemaskan permainan mereka untuk dua set berikutnya (17-15, 15-10) sekali gus muncul juara Divisyen 1 buat pertama kali.

Menurut pengurus pasukan Kelantan Warriors, Mahizi Mahmood, pemain-pemain Kelantan menunjukkan sikap tidak mudah mengalah sepanjang perlawanan.

“Kita sebenarnya apabila kita dah ketinggalan pada set pertama dengan Selangor Pistons, bukan tugas mudah untuk kita bangkit pada set kedua.

“Pemain menunjukkan satu tahap disiplin yang tinggi dan kita kagum dengan kesungguhan yang ditunjukkan oleh pemain Kelantan.

Antara penyokong Kelantan yang hadir ke stadium bagi menyokong Kelantan Warriors

“Kita bersyukur kerana pada tahun ini kita mampu menjulang kejuaraan Divisyen 1 dan melayakkan diri ke Liga Premier STL. Ini adalah hadiah khusus buat rakyat negeri Kelantan,” katanya.

“Kita mengalami dua musim yang suram tetapi kini penyokong telah mula memberi kepercayaan kepada pasukan dan kita mengharapkan penyokong Kelantan untuk memenuhi setiap venue GP di Liga Premier nanti,” tambahnya.

Untuk rekod, Kelantan Warriors dan Selangor Pistons telah melayakkan diri ke Liga Premier STL 2024 selepas berjaya melangkah diri ke final Divisyen 1 malam ini.

Saingan Liga Premier STL 2024 akan mula membuka tirai pada 11 September ini bagi GP pertama di Selangor. Sebanyak 12 pasukan termasuk Kelantan Warriors dan Selangor Pistons akan beraksi dalam saingan tersebut.