BINTANG legenda badminton negara, Datuk Lee Chong Wei berkongsi satu ciapan indah dan menyentuh jiwa rakyat Malaysia hari ini, menjelang Sambutan Kemerdekaan kali ke-67 buat tanah air kita.

Aura patriotik yang cuba disampaikan melalui mesejnya itu berjaya membuka mata yang membaca, apabila menegaskan bahawa kekuatan Malaysia terletak pada perpaduan rakyat berbilang kaum tanpa mengira latar belakang masing-masing.

“Malaysia paling kuat apabila semua kaum bersama. Kami bersorak untuk sukan. Kami menangis untuk Azizul. Kami memaki hamun sesiapa yang kutuk makanan Malaysia.

“Sekiranya badan terkeluar darah, kita sama sahaja. Mana ada darah Cina, Melayu ke India. Semua darah merah jenis A, B, AB atau O.

Poster Hari Merdeka yang dimuat naik di laman Facebook Chong Wei.

“Tapi yang pasti, darah kita semua pasti pernah tertumpah di negara ini. Kita sebenarnya sangat sayang negara kita ini.

“Selamat Hari Kebangsaan, Malaysia tersayangku,” luahnya di laman Facebook peribadinya.

Jelas bahawa satu lagi mesej yang dapat disampaikan, elemen sukan juga benar menyatukan rakyat Malaysia. Hanya kita yang perlu memandang sesuatu perkara itu dengan positif dan mengambil iktibar daripada setiap situasi yang berlaku.