PASUKAN kebangsaan Palestin dan sebuah kelab Liga Super, PDRM FC akan mengadakan satu aksi persahabatan tertutup petang ini, di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur Cheras.

Perkara ini disahkan sendiri melalui hantaran rasmi di Instagram Sang Saka Biru yang mengalu-alukan kehadiran pasukan tanah Arab itu untuk menguji kekuatan pasukan mereka sebelum beraksi di pentas Kelayakan Piala Dunia 2026.

“Kami berbesar hati untuk menjadi tuan rumah kepada pasukan kebangsaan Palestin dalam persiapan mereka untuk kelayakan Piala Dunia FIFA/Piala Asia yang akan datang. Perlawanan persahabatan tertutup antara Palestin dan PDRM akan diadakan hari ini di Stadium Bola Sepak KL,” menurut kenyataan PDRM FC.

Pasukan Palestin bakal bertemu PDRM FC petang ini dalam aksi persahabatan.

Skuad kendalian P.Maniam ini jelas bakal memanfaatkan perlawanan persabahatan ini, demikian kalendar Liga Malaysia yang sedang ‘berehat’.

Jadi, saingan antara dua pasukan ini bakal memberikan aura dan semangat baharu buat pasukan The Cops, sekali gus menguji kekuatan anak buah P Maniam bertemu pasukan antarabangsa.

Untuk info, Palestin bakal berdepan skuad Korea Selatan dalam aksi pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026 pada 5 September sebelum beraksi menentang Jordan 10 September di gelanggang Malaysia.