SAMBUTAN Hari Kemerdekaan ke-67 negara ditutup dengan coretan gemilang apabila skuad bola sepak wanita Sabah mencipta sejarah muncul pasukan Malaysia pertama yang layak ke peringkat kumpulan Liga Juara-Juara AFC Wanita 2024-25.

Tambah manis, ianya dilakukan di hadapan penyokong sendiri yang juga menyambut Hari Sabah sekali gus menjadikan sejarah ini sesuatu yang kekal dan akan dikenang dalam sejarah.

Dengan kejayaan Sabah ini, bola sepak Malaysia menyaksikan lima pasukan – empat pasukan lelaki dan satu wanita kini bertanding di peringkat tertinggi kelab Asia sekaligus memberikan indikator kualiti bola sepak tempatan yang semakin meningkat.

JDT bawa nama Malaysia di Liga Juara-Juara AFC Elite 2024-25

Johor Darul Ta’zim (JDT) akan bersaing pada tahap tertinggi di Liga Juara-Juara AFC Elite manakala Selangor FC pula bertanding di Liga Juara-Juara AFC 2 ditambah Kuala Lumpur City FC dan Terengganu FC yang berentap dalam Kejuaraan Kelab Asia Shopee Cup.

Bukan mudah untuk sesebuah negara mendapat slot yang banyak di peringkat Asia tetapi hasil kerja keras dan keputusan yang baik saban tahun terutama dari JDT dan pasukan-pasukan lain yang bertanding sebelum ini memastikan Malaysia kini mempunyai wakil di setiap kejohanan tertinggi Asia.

Perkara ini juga membuktikan Liga Super Malaysia semakin kompetitif dengan kesemua kelab sudah mula membuka mata akan kepentingan slot Asia yang bukan sahaja menawarkan ganjaran lumayan tetapi juga peluang untuk bersaing dengan pasukan yang lebih baik.

Selangor FC bakal bersaing di Liga Juara-Juara AFC 2 2024-25

Bola sepak Malaysia bertuah kerana mata yang banyak dipungut oleh JDT di peringkat Asia menyaksikan satu slot di saingan Elite menjadi kenyataan selain satu lagi slot automatik ke peringkat kumpulan Liga Juara-Juara AFC 2.

Akibat dari kejayaan itu, dua lagi kelab mendapat tempias apabila Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) memberikan dua slot tambahan kepada finalis Piala FA dan Piala Malaysia bersaing dalam Shopee Cup yang turut menawarkan ganjaran kewangan yang cukup lumayan.

Kesan daripada situasi ini, Kuala Lumpur City dan Terengganu juga dapat meneruskan persaingan mereka di peringkat Asean selepas masing-masing cemerlang ketika saingan Piala AFC musim 2022 dan 2023.

Skuad bola sepak wanita Sabah cipta kejutan layak ke Asia

Senario bola sepak wanita Malaysia kurang diberikan perhatian banyak pihak tetapi Sabah membuktikan mereka mampu bersaing dengan kelab-kelab Asia lain apabila kini membawa nama Malaysia di peringkat tertinggi bola sepak wanita Asia.

Bermula September 2024 hingga Mei 2025, kejohanan peringkat Asia ini akan bermula dan marilah sama-sama berikan sokongan kepada pasukan yang membawa nama Malaysia di peringkat antarabangsa.