PENGENDALI Manchester United, Erik ten Hag mengingatkan berkenaan rekod trofinya di kelab itu menjelang pertemuan dengan Liverpool di Old Trafford malam ini.

Ten Hag, yang terselamat daripada dipecat selepas memenangi Piala FA musim lalu, sekali lagi menerima tekanan apabila Manchester United kendaliannya bermula goyah musim ini.

Dengan pemilik bersama, Jim Ratcliffe mengharapkan peningkatan United dalam saingan Liga Perdana Inggeris, Ten Hag berdepan Liverpool kendalian rakan senegara dari Belanda, Arne Slot.

Bagaimanapun Ten Hag boleh mendabik dada ke atas lawannya itu yang hanya memenangi Piala Liga sepanjang dua tahun dia berada di Old Trafford.

“Di belakang Manchester City, kami memenangi lebih banyak trofi sepanjang dua tahun lalu, jadi prestasi kami lebih baik berbanding pasukan lain.

“Saya terpaksa membina semula kelab ini. Kami membawa masuk pemain-pemain muda. Kami membentuk pemain-pemain ini. Kami memenangi trofi. Apa lagi yang boleh saya lakukan?

“Apa yang saya tahu, peminat-peminat gembira dengan saya, walaupun ia bukan berkenaan saya, ia tentang Man United, dan sudah tentu kami mempunyai sasaran lebih tinggi,” kata Ten Hag.