Foto: Rhino Football Club

PEMAIN pertahanan tengah Sri Pahang FC, Stefano Brundo mengambil kesempatan untuk melawat pemain Rhino FC (Bawah-9), Ammar Ziqry yang mengalami kecederaan akibat kemalangan motosikal ketika dalam perjalanan pulang dari sekolah baru-baru ini.

Keprihatinan Brundo terhadap pemain bola sepak cilik ini jelas menunjukkan rasa simpatinya yang tinggi, selain daripada komitmennya terhadap komuniti bola sepak tempatan.

Dalam masa yang sama, Pablo, bapa kepada pemain Rhino (Bawah-12), Philippe Ciro, yang berasal dari Argentina turut hadir sama dalam kunjungan tersebut.

Brundo antara pemain skuad Sri Pahang FC.

“Ammar Ziqry dilaporkan mengalami kecederaan serius termasuk putus tendon dan patah tulang di kaki kirinya. Beliau telah menjalani pembedahan buat kali pertama dengan jayanya, dan pembedahan kedua dijadualkan akan dilakukan minggu hadapan.

“Semoga Ammar cepat sembuh dan kembali ke padang secepat mungkin. Kami semua di sini mendoakan kesembuhannya,” menurut kenyataan Rhino FC.

Jelas bahawa kehadiran Brundo dan seorang bapa kepada pemain Rhino lain itu bukan sahaja mencerminkan semangat kesukanan yang tinggi, tetapi juga keprihatinan yang mendalam di kalangan ahli komuniti bola sepak.

Jadi benar, sukan menyatukan rakyat.