PEMAIN skuad wanita kebangsaan, Steffi Sidhu mahu bermain di peringkat Kumpulan Liga Juara-Juara AFC Wanita (AWCL) 2024-25 yang boleh dianggap pelengkap kariernya sebagai pemain bola sepak profesional
Steffi mengetuai barisan pemain Sabah yang mencipta kejutan dan sejarah untuk layak ke peringkat kumpulan AWCL selepas menjuarai Kumpulan C apabila menewaskan PSF Nasaf 2-1 ketika peringkat kelayakan di Kota Kinabalu.
Pemain berusia 35 tahun yang dipinjamkan dari Kelana United itu sedar akan kepentingan beraksi di peringkat tertinggi kelab Asia dan dia berbesar hati mahu mewakili Sabah dalam aksi yang bakal berlangsung pada Oktober 2024.
“Saya sangat-sangat gembira dan ‘speechless‘ kerana selepas dapat dua gol itu kami semakin bersemangat ditambah sorakan penyokong yang ramai memastikan keyakinan kami bertambah dan berjaya raih kemenangan.
“Peringkat selepas ini akan jadi yang tertinggi dan saya masih tidak percaya kami sebagai pasukan ‘underdog’ dapat mara serta semangat kami yang tidak putus asa membawa kepada kejayaan ini.
“Walaupun saya hanya sertai pasukan ini sekejap sahaja tetapi mereka hormat saya sebagai pemain senior dan kapten dan harap saya boleh ketuai mereka lagi di peringkat kumpulan nanti,” katanya selepas perlawanan.
Sepakan percuma Steffi menjadi punca gol kedua Sabah apabila penjaga gol lawan gagal menangkap kemas dan dia mengasari tindakan susulan Henrietta Justin sekali gus menghadiahkan penalti dan juga gol kemenangan Sabah.
Kejayaan ini menyaksikan Sabah akan menghuni Kumpulan A bersama-sama Wuhan Jiangda, Incheon Red Angels dan Abu Dhabi County Club dalam aksi yang berlangsung secara karnival di Wuhan, China dari 6 hingga 12 Oktober 2024.