TERENGGANU FC (TFC) bakal berdepan tugas berat menerima kunjungan Kedah Darul Aman (KDA) FC dalam aksi pusingan kedua Piala FA di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin malam ini.
Pengendali TFC, Mohd. Nafuzi Zain, berkata, prestasi dan keyakinan pihak lawan itu berada pada tahap terbaik selepas melepasi peringkat kumpulan Piala AFC dengan bergaya.
Turut merisaukan Nafuzi adalah kelibat penyerang KDA, Ronald Ngah Wanja serta pemain antarabangsa Jordan, Mahmoud Mardi yang boleh memusnahkan hasrat TFC melangkah ke peringkat seterusnya.
“Untuk saingan peringkat kalah mati seperti Piala FA, bermain di tempat sendiri bukan lagi kelebihan buat tuan rumah terutama berdepan pasukan berkualiti seperti Kedah.
“Kedah memperkemaskan barisan pemain dengan kemasukan tonggak import baharu selain Ngah Wanja yang semakin menjadi-jadi di depan gol, itu menjadikan mereka pasukan yang lengkap.
“Saya pula terpaksa mengetepikan penjaga gol, Rahadiazli Rahalim akibat kecederaan bahu serta bek kanan, Azam Azmi Murad yang turut tercedera,” katanya ketika ditemui FLASH SUKAN.
Jelas Nafuzi lagi, fokus utamanya ketika ini adalah memastikan pemain-pemain TFC berada pada tahap kecergasan terbaik bagi aksi bertemu Kedah selepas mengharungi jadual agak padat.
Katanya, beberapa pemain berada dalam pertimbangannya untuk diturunkan bagi mengisi tempat dua pemain itu antaranya Mohd. Suhaimi Husin dan Azarul Nazarith Azhar.
Menerusi undian dibuat semalam, pemenang perlawanan TFC dan Kedah akan membuat perhitungan dengan Kuching City FC di peringkat suku akhir.