SELEPAS gagal melayakkan diri ke Sukan Olimpik Paris 2024 lalu, gandingan beregu campuran profesional negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai nekad menebus kehampaan dengan melayakkan diri ke Jelajah Dunia Akhir, Disember ini.
Pasangan di ranking ke-13 dunia itu, merangkul kejuaraan Terbuka Switzerland (Mac) dan Masters Malaysia (Mei) tahun ini, menamatkan saingan Terbuka Korea minggu lalu di peringkat suku akhir.
Mereka yang turut melangkah ke suku akhir Jelajah Dunia Super 750 Terbuka India itu, muncul gandingan beregu campuran terbaik negara dalam senarai ranking Jelajah Dunia ketika ini, apabila menghuni tangga keempat, di belakang pasangan Thailand, Dechapol Puavanukroh-Sapsiree Taerattanachai (3), Dejan Ferninansyah-Gloria Emannuelle Widjaja dari Indonnesia (2) dan Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin dari China (1).
“Ranking Jelajah Dunia kami masih berada dalam Top 8, jadi kami akan cuba mendapatkan sebanyak mungkin mata setiap kali menyertai kejohanan untuk melayakkan diri ke Jelajah Dunia Akhir.
“Saya akan cuba mempamerkan aksi konsisten di setiap kejohanan,” kata Soon Huat.
Untuk rekod, Soon Huat pernah beraksi di Jelajah Dunia Akhir 2018, 2020 dan 2022 dengan pencapaian terbaik pada edisi 2020 di Nonthaburi, Thailand, apabila mara ke separuh akhir.
Jelajah Dunia Akhir 2024 akan berlangsung di Hangzhou, China pada 11 hingga 15 Disember.