PENYERANG Harimau Malaya, Darren Lok percaya pemain dalam pasukan negara tidak mempunyai masalah untuk mengadaptasi dengan taktikal ketua jurulatih sementara negara, Pau Marti Vicente.

Menurutnya, sistem taktikal dan latihan antara Pau Marti Vicente dan bekas jurulatih Malaysia, Kim Pan-gon tidak jauh beza dan kesemua pemain tidak berhadapan masalah untuk memahaminya.

“Kita mempunyai hampir kesemua pemain yang pernah berada disini ketika coach Kim (Pan-gon) masih lagi jurulatih kami.

Ketua Jurulatih Sementara Harimau Malaya, Pau Marti Vicente

“Di bawah coach Pau (Marti Vicente) kami sepasukan masih faham dengan caranya, ia masih lagi sistem yang sama dan ia tidak banyak berubah.

“Setiap jurulatih mempunyai cara permainannya sendiri jadi mungkin terdapat sedikit perbezaan disini dan sana namun kesemua pemain masih lagi selesa,” katanya ketika ditemui media di Wisma FAM.

Beliau turut menambah dengan kehadiran ramai penyerang dalam skuad negara kali ini, ia mampu menajamkan lagi bahagian paling kritikal Harimau Malaya.

“Pilihan di bahagian serangan untuk panggilan kali ini agak kuat, setiap penyerang yang dipanggil mempunyai ciri-ciri tersendiri jadi ini adalah satu petanda yang baik untuk skuad Malaysia.

“Syafiq Ahmad kembali dan kita semua tahu kualiti yang beliau ada, Paulo (Josue) mempunyai musim yang baik setakat ini dan Romel (Morales) juga beraksi dengan cukup baik bersama JDT,” tambahnya lagi.

Malaysia akan bertemu pasukan Filipina untuk aksi separuh akhir pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 4 September ini.