DUTA Besar Malaysia ke Perancis Datuk Eldeen Husaini Mohd Hashim berharap Kontinjen Malaysia terus bersemangat berjuang di atas nama negara pada temasya Sukan Paralimpik yang kini sedang berlangsung di Paris.

Eldeen mengakui pihaknya gembira dapat bertemu dengan kontinjen negara dan mengalu-alukan semua pegawai dan 30 orang atlet yang beraksi lapan acara edisi kali ini.

“Kami rakyat Malaysia di Perancis ini berharap wira dan wirawati kita semua terus berjuang. Kami sentiasa menyokong dan mendokong mereka.

“Kalah menang adalah adat pertandingan. Sebagai rakyat Malaysia di sini, kami telah menganggap mereka adalah ‘Emas’ negara walaupun sebelum bertanding,” jelasnya ketika ditemui pada Majlsi Sambutan Hari Merdeka di Paris.

Dalam pada itu juga Eldeen berkata, keberadaan semua di sini adalah kerana pengorbanan setiap jiwa oleh generasi terdahulu (datuk nenek dan moyang).

Duta Besar Malaysia ke Perancis (kiri) bersama Presiden MPM Datuk Seri Megat D.Shahriman Zaharudin pada Mjalis Sambutan Merdeka 2024 di Paris.

“Sambutan Hari Kemerdekaan merupakan hari amat bermakna kepada seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama. Lebih-lebih lagi apabila rakyat Malaysia yang berada di perantauan seperti kita semua dapat berpeluang untuk berkumpul dan bertemu sahabat handai dan kenalan yang jarang-jarang dapat bertemu sekiranya tiada majlis keramaian seperti ini.

“Saya serta semua rakan kerja serta keluarga di Kedutaan amat memahami betapa pentingnya keraian seperti ini dan kami bertekad untuk mengadakan engagement seperti ini lebih kerap dan kami mohon sokongan anda untuk menjayakannya.”

Sementara itu, Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) Datuk Seri Megat D.Shahriman Zaharudin menghargai pertemuan kontinjen negara bersama duta besar Malaysia ini.

“Satu majlis yang bermakna bagi kami semua. Sokongan rakyat Malaysia di Paris ini menambahkan lagi semangat semua atlet untuk bertanding.

“Terima kasih Kedutaan Malaysia di Perancis,” jelasnya.